Warga Jabatan Penerangan Perlu Tangani Isu Negatif

SEREMBAN – Warga Jabatan Penerangan perlu memanfaatkan sepenuhnya platform media sosial bagi menangkis sebarang isu dimainkan pihak tertentu yang mampu mencetuskan impak negatif kepada masyarakat.

Timbalan Ketua Pengarahnya (Pengurusan), Datuk Almain Ajirul berkata media sosial sering dijadikan alat penting oleh golongan tertentu untuk melakukan manipulasi terhadap sesuatu isu.

“Warga Jabatan Penerangan perlu mahir menggunakan media sosial untuk membantu memperjelaskan isu kepada rakyat dan turut menggabungkan kaedah konvensional iaitu komunikasi secara bersemuka yang masih relevan dan ada kekuatannya.

“Jabatan ini pada ketika ini berusaha sedaya upaya menjelaskan rakyat mengenai falsafah, dasar dan wawasan negara. Selaras dengan perkembangan terkini dunia tanpa sempadan, tanggungjawab jabatan juga menjadi semakin mencabar dalam memasarkan maklumat kepada rakyat di peringkat akar umbi tanpa ada yang tertinggal atau terpinggir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Inovasi Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sembilan 2017 di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan negeri Sabarudin Yeop Hamza.

Mengenai Hari Inovasi, beliau berkata ia merupakan komitmen jabatan itu bagi menyemarakan lagi budaya inovasi dan kreativiti dikalangan warganya.

“Majlis ini merupakan platform terbaik untuk mengiktiraf dan menghargai sumbangan warga Jabatan Penerangan dalam menghasilkan dan mengetengahkan produk inovasi yang dapat meningkatkan tahap kualiti perkhidmatan demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Sementara itu, Sabarudin dalam ucapannya berkata kekuatan sesebuah organisasi termasuk Jabatan Penerangan amat bergantung kepada inovasi yang dapat dilakukan setiap warganya.

“Marilah kita munasabah kerja kita adakah semakin baik atau kurang baik…kalau kurang baik, kita tambah baik dan jaga kerja kita dan laksanakan apa yang diamanahkan dengan sebaiknya,” katanya. – BERNAMA

Loading...