Warga Afrika Didakwa Kes Pulangan Wang Berganda

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan warga Afrika mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini terhadap pertuduhan menipu seorang lelaki membabitkan RM393,500 bagi mendapatkan pulangan wang berganda.

Barin Sweat, 39, didakwa memperdaya Mohd Sharaf [email protected], 41, yang bekerja sendiri, untuk menyerahkan wang tunai itu secara berperingkat kepadanya bagi maksud berkenaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah taman rekreasi di Pandan Indah, Ampang Jaya di sini antara 3 petang, 19 Sept lepas dan 8 malam, 22 Okt.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Sweat turut didakwa memasuki dan tinggal di negara ini tanpa sebarang pas perjalanan yang sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Zulyana Zollkapli tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 9 Dis ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki mendakwa dirinya sebagai ‘bomoh’ yang boleh berkomunikasi dengan jin bagi menggandakan wang dengan bantuan alam ghaib. – BERNAMA