Wanita Perlu Yakin Kemampuan Diri – Exco

KUANTAN – Golongan wanita perlu membuang sikap negatif, sebaliknya yakin dengan kemampuan diri sendiri agar dapat memberi sumbangan berkesan dalam pembangunan negara.

Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata wanita seharusnya tidak meletakkan diri mereka di tahap yang rendah tetapi perlu mencari jalan terbaik untuk meningkatkan kualiti diri dalam setiap bidang yang diceburi.

“Buanglah sikap memandang ke belakang atau sering memberi alasan jantina jika tidak boleh melakukan sesuatu. Paling penting wanita harus terus yakin dengan keistimewaan yang ada pada diri untuk berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Minggu Wanita peringkat Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Dewan Astaka, Kampus Gambang di sini hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim berkata tiada siapa dapat menafikan peranan wanita termasuk di universiti tersebut yang mahu melahirkan mahasiswi yang berwibawa sama ada dalam bidang kemahiran atau ilmiah.

“Di sini, kaum wanita akan terus diberi peluang secara aktif untuk mengembangkan potensi diri bagi manfaat keluarga, masyarakat dan pembangunan negara,” katanya. – BERNAMA

Loading...