Wanita Maut Kemalangan Selepas Makan Bersama Anak Menantu

KEMAMAN – Seorang wanita maut selepas kenderaan yang dinaiki bersama dua ahli keluarganya terlibat dalam kemalangan dengan treler di Kilometer 162.4 Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran Ladang Rakyat di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 malam itu, mangsa Aisyah Ishak, 55, yang berada di tempat duduk belakang maut di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah.

Mangsa yang menaiki kereta Proton Persona yang dipandu anaknya bersama menantu dalam perjalanan pulang dari Bandar Balok Kuantan menuju ke rumahnya di Bandar Cheneh Baru, di sini selepas makan malam.

Kereta yang dipandu anak lelakinya, Mohd Yahya Talib, 28, bertembung dengan treler yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuantan.

Susulan kejadian itu, Mohd Yahya turut cedera dan isterinya, Hasnah Abd Rahman, 28, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan patah paha kiri manakala pemandu lori berusia 29 tahun berkenaan patah pinggul.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Kemaman untuk dibedah siasat manakala semua mangsa yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama. – BERNAMA