Wanita Curi Cermin Mata Dipenjara, Denda

KUALA LUMPUR – Gara-gara mencuri sepasang cermin mata bernilai RM1,099 di sebuah pusat beli-belah, seorang wanita warga Indonesia dipenjara empat hari dan didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman menjatuhkan hukuman itu ke atas Maisaroh, 30, selepas dia mengaku bersalah mencuri sepsang cermin mata jenama Ray Ban General Polarized di Kompleks Sogo, di sini, pada 3.50 petang 27 Dis tahun lalu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula tarikh ditangkap pada 27 Dis lepas dan wanita itu juga diperintah menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun dan juga boleh dikenakan denda.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia mempunyai seorang anak, manakala Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran. – BERNAMA

Loading...