Wanita Berpeluang Ceburi Bidang Teknikal Dan Vokasional

KUALA LUMPUR – Kaum wanita mempunyai peluang setara dengan lelaki untuk mendapatkan pendidikan dan menceburi kerjaya di dalam bidang teknikal dan vokasional (TVET), kata Presiden Persatuan Pendidikan Teknik dan Vokasional Malaysia Dr Mohd Zolkifli Abd Hamid.

Meskipun bidang teknikal dan vokasional banyak berkisar kepada kerja berat dan rencam sehingga menjadikannya didominasi oleh kaum lelaki, skop bidang berkenaan sebenarnya amat luas.

“Mana-mana sistem pendidikan tidak pernah membezakan lelaki mahupun wanita. Bidang ini menawarkan bentuk pengajian (pendidikan dan latihan) yang fokus kepada pembelajaran secara ‘hands-on’ bagi menyediakan mereka untuk masuk ke alam pekerjaan.

“Selagi mana ia tidak mendatangkan kemudaratan, selagi itulah mereka bebas untuk menuntut ilmu bagi bekalan sama ada untuk memulakan sesuatu kerjaya mahupun untuk meningkatkan lagi kompetensi pekerjaan yang sedang dilakukan,” katanya kepada Bernama.

Mohd Zolkifli, yang juga pensyarah kanan di Jabatan Pendidikan Teknikal dan Kejuruteraan, Fakulti Pendidikan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor, berkata institusi-institusi latihan awam dan swasta banyak menawarkan jurusan TVET yang bersesuaian dengan golongan wanita.

Bidang ini termasuklah kosmetologi (dandanan diri dan rawatan kecantikan), gerontologi (penjagaan warga emas dan berkeperluan khas) serta bakeri dan konfeksioneri (roti, kek dan patisserie).

“Ada bidang keusahawanan seperti penyediaan makanan dan katering serta rekaan fesyen dan pembuatan pakaian yang dimonopoli oleh golongan wanita.

“Ini memberi petunjuk jelas bahawa peranan wanita dalam meningkatkan ekonomi negara tidak boleh dipandang ringan. TVET, tanpa mengamalkan diskriminasi terhadap jantina, menjadi wadah utama dalam menyediakan sumber tenaga ini,” katanya.

Beliau berkata program TVET yang ditawarkan oleh Kolej Vokasional dan institusi latihan kemahiran awam serta swasta di peringkat ‘baccalaureate’ membolehkan graduan terus memasuki pasaran kerja.

“Kemasukan segera ini dapat meningkatkan produktiviti dan memacu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Penyelidikan TVET, yang juga dari UTM, Skudai Prof Madya Dr Yahya Buntat berkata ketidakseimbangan gender dalam bidang teknikal dan vokasional, bukan bererti bidang itu tidak diminati oleh wanita.

Katanya TVET dilihat ketara dipelopori lelaki, oleh kerana banyak pekerjaan dalam bidang itu seperti bekerja di pelantar minyak dan sektor pembinaan memerlukan kekuatan tenaga fizikal, menjadikannya tidak sesuai dengan kudrat wanita.

“Mereka bukan tidak berminat tetapi ada jenis kerja tertentu yang membuatkan mereka tidak sesuai. Hakikatnya bidang TVET menawarkan banyak ruang untuk wanita. Ada bidang teknikal lain yang diceburi ramai wanita seperti dalam bidang kejuruteraan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT),” katanya.

Kerjaya dalam bidang teknikal dan vokasional ini sebenarnya amat luas tetapi mungkin tidak disedari oleh orang ramai berikutan kurangnya promosi dan kempen mengenainya, tambah Yahya. – BERNAMA

Loading...