Waktu Bekerja Fleksi Untuk Penjawat Awam Mulai 1 Mac

PUTRAJAYA: Bermula 1 Mac ini, projek rintis Waktu Bekerja Fleksi (WBF) akan dilaksanakan di semua kementerian dan jabatan Persekutuan di beberapa negeri bagi menggantikan Waktu Bekerja Berperingkat (WBB) yang digunakan ketika ini.

WBF akan dilaksanakan di kementerian dan jabatan kerajaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya manakala jabatan Persekutuan bagi negeri Perlis, Perak, Selangor, Johor, Terengganu, Sarawak dan Sabah.

Arahan pelaksanaan WBF itu yang menjadi sebahagian inisiatif pembaharuan perkhidmatan awam, dikeluarkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah, dalam satu pekeliling kepada semua ketua setiausaha kementerian semalam.

Berdasarkan pekeliling itu, WBF terpakai kepada semua pegawai yang mengamalkan Waktu Bekerja Pejabat di kementerian atau jabatan.

Waktu pejabat akan bermula pada jam 7.30 pagi sehingga 5.30 petang kecuali hari Khamis di Johor dan Terengganu, yang bermula jam 7.30 pagi hingga 4 petang.

“Pegawai boleh memulakan tugas pada bila-bila masa antara 7.30 pagi hingga 8.30 pagi. Pegawai yang mengetik kehadiran pada jam 8.31 pagi dikira lewat memulakan tugas.

“WBF hendaklah dilaksanakan berdasarkan waktu bekerja sehari iaitu selama sembilan jam termasuk waktu rehat sejam. Contohnya, pegawai yang memulakan tugas pada jam 8.07 pagi akan menamatkan tugas pada jam 5.07 petang,” katanya.

Tambah pekeliling itu, pegawai yang memulakan tugas sebelum jam 7.30 pagi akan dianggap memulakan tugas pada jam 7.30 pagi. Sebarang tuntutan bayaran lebih masa adalah tidak dibenarkan melainkan pegawai diarah sedemikian.

“Jika pegawai diarahkan menjalankan kerja lebih masa, perkiraan bayaran lebih masa itu adalah selepas pegawai mencukupkan waktu bekerja sehari.

“Pelaksanaan kebenaran pulang awal satu jam kepada pegawai wanita mengandung dan suami sebagaimana ditetapkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11/ 2017 adalah terpakai bagi projek rintis ini,” katanya.

Selain itu, garis panduan lain yang turut ditetapkan dalam WBF ialah bagi kementerian atau jabatan yang mempunyai perkhidmatan kaunter, ketua jabatan hendaklah memastikan perkhidmatan itu tidak terjejas dengan pelaksanaan projek rintis ini.

“Ketua jabatan, atas kepentingan perkhidmatan, boleh mengarahkan mana-mana pegawai untuk hadir ke pejabat pada masa-masa yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, projek rintis WBF ini tidak terpakai untuk semua pegawai yang berkhidmat di sekolah atau institusi pendidikan dan fasiliti kesihatan,” katanya.

Pekeliling itu turut menyatakan bahawa ketua jabatan bertanggungjawab memantau waktu bekerja pegawai dengan memastikan syarat dan garis panduan dipatuhi.

“Projek rintis WBF akan dilaksanakan mulai 1 Mac sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak dan hasil awal projek rintis ini akan dibentangkan dalam satu mesyuarat dijadualkan pada 4 April depan,” katanya.

Elemen keanjalan bagi waktu bekerja dalam perkhidmatan awam dilaksana sejak 1998 apabila WBB diperkenalkan.

Ketika ini, kaedah WBB ditetapkan berdasarkan empat peringkat waktu iaitu waktu masuk kerja jam 7.30 pagi, 8 pagi, 8.30 pagi dan 9 pagi manakala waktu balik kerja pula pada jam 4.30 petang, 5 petang, 5.30 petang dan 6 petang. -BERITA HARIAN

Loading...