Vivo Malaysia Sasar Jualan 1.5 Juta Unit Telefon Pintar

KUALA LUMPUR – Vivo Malaysia menyasar menjual lebih daripada 1.5 juta unit telefon pintar daripada pelbagai model tahun ini susulan prestasi memberangsangkan yang dicatatkannya pada 2017 dengan satu juta unit terjual.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mike Xu berkata pengenalan model terbaharunya dalam segmen telefon pintar sederhana, Vivo V9, akan membantu meningkatkan jualan telefon pintar Vivo.

“Di Malaysia, kami merupakan antara empat jenama utama (segmen telefon pintar) dan kami berusaha keras untuk sampai ke tahap itu.

“Pembangunan pesat dalam teknologi mudah alih sentiasa mengubah cara kita berkomunikasi dan ia adalah gaya hidup pengguna yang berkembang, dengan telefon pintar menjadi perkara utama dalam rutin harian mereka,” katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran Vivo V9 di sini, hari ini.

Telefon pintar baharu daripada syarikat teknologi China itu mempunyai paparan IPS 6.3 inci HD+ penuh (2,280 x 1,080) dengan nisbah aspek 19:9.

Dikuasakan oleh pemproses octa-core Qualcomm Snapdragon 626, V9 memiliki 4GB RAM dan 64GB storan dalaman.

Ia juga memiliki dua slot kad Nano SIM, menggunakan Android 8.1 dan telefon itu dikuasakan oleh Funtouch OS 4.0.

V9 memiliki dwi kamera belakang, sensor 16-megapiksel dengan apertur f/2.0, manakala sensor 5-megapiksel memiliki apertur f/2.4.

Seperti model-model sebelum ini, V9 juga memberi penekanan kepada kamera hadapan, dengan sensor 24-megapiksel dan apertur f/2.0.

Vivo Malaysia juga mengumumkan penyanyi tempatan, Alvin Chong, sebagai ikon muziknya, yang akan menyertai senarai personaliti jenamanya selain ikon swafoto Joyce Chu dan duta jenama, Janna Nick.

Vivo V9 yang berharga RM1,399, didatangkan dengan warna hitam mutiara dan emas akan berada dalam pasaran tempatan bermula 31 Mac. – BERNAMA

Loading...