Veteran Tentera Mohon Kuota Haji Dikekalkan

KANGAR – Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVTTBM) memohon agar kuota haji sebanyak 400 orang dikekalkan untuk mereka pada tahun ini.

Presiden PVTTBM, Ismail Abidin berkata sebelum ini, kuota haji untuk veteran tentera hanya 200 orang, namun ditambah kepada 400 orang pada tahun lepas.

“Pihak persatuan menerima banyak pertanyaan daripada ahli mengenai peluang mereka untuk menunaikan haji pada tahun ini di bawah kuota veteran tentera.

“Mereka mempunyai wang simpanan mencukupi dan sangat berharap agar dapat ke tanah suci tahun ini,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata kuota menunaikan haji untuk veteran tentera selama ini diperoleh atas ihsan kerajaan Arab Saudi dan pihaknya berharap kerajaan pusat dapat berurusan dengan kerajaan negara itu bagi mendapatkan jumlah kuota yang sama pada tahun ini.

Katanya kebanyakan veteran berusia melebihi 65 tahun, justeru mereka sangat berharap dapat menunaikan haji segera sementara masih mampu dan bertenaga. – BERNAMA