Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

Majlis Presiden PH Dicabar...

KUALA LUMPUR - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) didesak membuat ketetapan jelas mengenai...

Pilih Parti Layak Mentadbir,...

KANGAR - Rakyat diingatkan supaya memilih calon-calon daripada parti yang benar-benar layak mentadbir,...

8 Kenderaan Kemalangan, ‘Hujan...

NAHAS membabitkan lapan buah kenderaan menyebabkan durian dibawa sebuah lori bertaburan di atas...

Ferrari Pengantin Remuk Langgar...

SEBUAH Ferrari yang dipandu oleh sepasang mempelai yang baharu mendirikan rumah tangga remuk...

Venezuela Yakin Mampu Atasi Krisis Ekonomi

KUALA LUMPUR – Venezuela yakin mampu mengatasi krisis ekonomi semasa menerusi pelan pemulihan yang diumumkan baru-baru ini, meskipun terdapat beberapa percubaan oleh beberapa pihak untuk mensabotaj ekonominya serta negara itu, kata Naib Menteri Hal Ehwal Luar bagi Asia, Timur Tengah dan Oceania, Ruben Dario Molina.

Beliau berkata Presiden Nicolas Maduro baru-baru ini mengumumkan pelbagai langkah dan pembaharuan bagi menangani krisis ekonomi serta inflasi melampau, namun menegaskan bahawa ia mungkin mengambil masa untuk melihat hasilnya kerana beberapa langkah terbabit hanya dilaksanakan kurang dari tempoh sebulan lepas.

Beliau berkata terdapat beberapa negara termasuk di Amerika Latin yang cuba mewujudkan tanggapan bahawa Venezuela berdepan krisis kemanusiaan berikutan penghijrahan besar-besaran migran Venezuela ke negara-negara jiran, bagi menjustifikasi intervensi dan campur tangan asing dalam hal ehwal domestik Venezuela.

“Kami kini berdepan (satu) serangan ekonomi…mata wang kami sedang diserang… begitu juga dengan sektor ekonomi, kewangan dan komersial kami,” kata Molina kepada Bernama selepas melawat NAM News Network (NNN) di ibu pejabat agensi berita Malaysia itu di sini hari ini.

Molina, yang diiringi Duta Besar Venezuela ke Malaysia, Manuel Guzman, turut diberi taklimat oleh Timbalan Ketua Pengarang Bernama (Perkhidmatan Berita Antarabangsa) Ahmad Zukiman Mohd Zain.

Turut hadir Editor Eksekutif (Perkhidmatan Berita Antarabangsa) Ahmad Fuad Yahya.

Dalam kunjungan beliau selama 90 minit ke Bernama, Molina turut melawat Bernama News Channel (BNC), Bernama Radio dan Jabatan Editorial Bernama.

Beliau tiba di sini pada Rabu sebagai sebahagian daripada rangka lawatannya ke tiga negara ASEAN iaitu Indonesia, Malaysia dan Vietnam dalam usaha memperkukuh hubungan Caracas dengan rantau ini.

Molina berkata percubaan kuasa asing untuk campur tangan dalam hal ehwal domestik Venezuela bertujuan untuk mengawal sumber asli negara itu termasuk minyak dan gas, bahan galian serta air.

Beliau berkata susulan tindakan mensabotaj ekonomi menerusi langkah-langkah unilateral, Venezuela berdepan kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan serta kesukaran mengimport bahan mentah untuk pengeluaran dan industri.

Venezuela turut berdepan pelbagai sekatan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah, termasuk yang dikenakan ke atas syarikat serta pegawai negara yang memiliki rizab minyak terbesar di dunia itu.

AS telah mengharamkan pembelian mata wang kripto yang dikeluarkan oleh Kerajaan Venezuela serta melarang rakyatnya membeli hutang Venezuela dengan wang tunai.

Maduro baru-baru ini mengumumkan beberapa siri polisi sosial fiskal, kewangan dan ekonomi bagi menangani krisis ekonomi serta meningkatkan kuasa beli rakyat, termasuk meningkatkan gaji minimum, cukai korporat lebih tinggi, menambat mata wang Bolivar Venezuela kepada mata wang digital ‘petro,’ yang disokong oleh rizab minyak serta denominasi semula mata wang.

Pembaharuan lain yang dibuat ialah memberi arahan kepada bank untuk mengguna pakai ‘petro’ sebagai satu unit akaun dan kiriman wang yang dihantar pulang perlu melalui peniaga mata wang yang sah untuk mengutip cukai ke atas urus niaga itu serta meningkatkan kadar piawaian cukai nilai tambah (VAT) dari 12 peratus kepada 16 peratus bagi meningkatkan kutipan cukai.

Selain itu,pengenalan satu mekanisme baharu bagi subsidi minyak dan langkah menaikkan harga gasolin dilakukan bagi mengekang penyeludupan.

Rakyat Venezuela menikmati harga minyak terendah di dunia.


Molina berkata Kerajaan Venezuela juga menyediakan pelbagai insentif dan mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI) dalam usahanya untuk mempelbagaikan ekonomi yang bergantung kepada minyak.

Ini termasuk memudahkan peraturan berkaitan FDI dan membenarkan penghantaran pulang keuntungan.

Molina berkata Venezuela mengalu-alukan pelaburan dalam sektor minyak dan gas, perlombongan, pertanian serta pelaburan dalam pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana.

“Kami tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat besar… namun mereka harus mengikuti model pembangunan Venezuela,” katanya.

Molina berkata Venezuela, yang juga anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), berharap untuk meningkatkan pengeluaran minyak daripada sejuta tong ketika ini kepada antara dua juta dan 2.5 juta tong menjelang akhir tahun ini atau tahun depan.

Mengulas isu rakyat Venezuela meninggalkan negara itu untuk berhijrah ke negara jiran susulan krisis ekonomi, beliau menjelaskan bahawa angka yang dikeluarkan oleh pelbagai badan antarabangsa adalah tidak tepat, dan kadang-kadang sengaja diperbesar-besarkan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan kira-kira 1.6 juta rakyat Venezuela meninggalkan negara Amerika Latin itu sejak 2015.

“Sebaliknya, pada masa lalu, Venezuela menerima ramai migran dari negara lain yang tertarik untuk bekerja di Venezuela susulan pertumbuhan ekonomi dan kemakmurannya,” katanya.

Menurut Molina, beberapa negara cuba menggambarkan Venezuela sebagai sebuah negara yang gagal serta menghasut rakyat untuk meninggalkannya, selain menimbulkan krisis kemanusiaan untuk menjustifikasi intervensi asing.

Menyentuh Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), yang menyaksikan Venezuela menyandang jawatan sebagai pengerusi ketika ini, Molina berkata organisasi yang ditubuhkan pada 1961 dan dianggotai 125 negara itu masih relevan, namun bekas kuasa-kuasa penjajah tidak berminat untuk melihat kemajuannya.

Ini kerana NAM, dengan jumlah anggota yang besar dari kalangan negara-negara membangun, sentiasa bersama-sama dalam memperjuangkan kerjasama Selatan-Selatan dan kepentingan negara membangun serta negara mundur.

Diterjemah dan disunting oleh Sabarina Baharom – BERNAMA

Kategori