Utusan Boleh Dikenakan Tindakan Jika Gagal Bayar Pampasan VSS Sekali Gus

PUTRAJAYA – Utusan Melayu (M) Berhad boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kerja 1955 sekiranya gagal membayar pampasan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dalam tempoh 30 hari dari tarikh pemberhentian, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar.

Mengulas laporan bahawa syarikat akhbar itu akan membayar pampasan secara ansuran bulanan selama setahun kepada 800 kakitangannya yang ditawarkan skim tersebut, beliau berkata Peraturan-Peraturan Kerja (Faedah-Faedah Penamatan Dan Rentikerja Sentara) 1980 menetapkan pampasan VSS perlu dibayar secara sekali gus.

Menurutnya majikan boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap kes yang dilaporkan berkaitan penawaran VSS berkenaan.

“Setakat ini kita cuma membaca laporan media, jadi pekerja harus berani tampil membuat aduan rasmi (kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) kerana hak mereka dijamin oleh undang-undang.

“Tanpa aduan kita tidak boleh bertindak membuat siasatan dan sebagainya. Setakat ini kita sedang memantau (situasi),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (COSH 2018) kali ke-21, di sini hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Pengarah Tenaga Kerja Datuk Mohd Jeffrey Joakim, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye dan Timbalan Ketua Eksekutif (Korporat) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Datin Azlaily Abd Rahman.

Dalam pada itu, Mohd Jeffrey berkata pihak jabatan dimaklumkan syarikat penerbit akhbar tertua Malaysia itu masih dalam peringkat perbincangan dengan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) untuk mencari jalan penyelesaian bagi menyegerakan bayaran pampasan tersebut.

Azlaily pula berkata kakitangan Utusan Melayu yang diberhentikan di bawah skim VSS itu layak mendapat bantuan melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) sebanyak RM600 sebulan dalam tempoh tiga bulan.

“Di bawah SIP juga kami boleh bantu (petugas yang ditawarkan VSS) mencari pekerjaan (baharu) sama ada bidang sama atau bidang lain. Kita cuba membantu melalui Jobs Malaysia,” kata Azlaily.

Pada Sabtu lepas, NUJ dalam satu kenyataan berkata penawaran VSS oleh Utusan Melayu ke atas 800 daripada 1,500 kakitangannya adalah tidak ikhlas, tidak jujur dan cukup mencurigakan.

NUJ berkata tawaran itu dibuat secara tergesa-gesa tanpa berbincang, mendapatkan pandangan dan input daripada pihaknya. – BERNAMA

Loading...