USIM Kuatkuasa Larangan Penggunaan Vape Dalam Kampus

NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan menguatkuasakan larangan penggunaan rokok elektronik atau vape di kawasan kampus bermula 1 Januari tahun hadapan.

Naib Canselornya Prof Datuk Dr Musa Ahmad berkata garis panduan larangan penggunaan vape di dalam kampus akan dikeluarkan pada pertengahan bulan hadapan.

“Di peringkat USIM, Pejabat Undang-undang dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar telah diminta untuk menyediakan garis panduan berhubung larangan vape serta penguatkuasaan undang-undang oleh Jabatan Keselamatan untuk memastikan kampus USIM bebas rokok dan vape.

“Ini adalah kerana rokok elektronik merupakan qiyas kepada rokok sebenar dan kenyataan pakar menunjukkan ia mudarat. Selain itu ia dianggap sebagai pembaziran, meniru budaya yang bukan Islam dan dilihat tidak bermaruah,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Musa berkata pelajar yang melanggar peraturan ini boleh dikenakan tindakan tatatertib dan denda.

Beliau berkata USIM memandang serius isu penggunaan vape masa kini dan tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil.

“Suka untuk saya ingatkan bahawa kampus merupakan kawasan larangan bagi merokok dan vape.

“USIM mengambil pendekatan bahawa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah membincangkan isu hukum merokok dari pandangan Islam dan telah bersetuju memutuskan bahawa ‘merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan’,” katanya.

Beliau berkata penguatkuasaan larangan ini adalah selari dengan kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh baru-baru ini yang mewartakan universiti awam sebagai kawasan larangan penggunaan vape. – BERNAMA

[wpdevart_youtube]5QLDpA7yOkE[/wpdevart_youtube]

Loading...