Usah Guna ‘Bufet Ramadan’ Jika Tiada Sijil Halal

DENDA RM200,000 hingga RM250,000 termasuk penjara lima tahun menanti pengurus hotel dan restoran di Pahang yang tidak memiliki sijil halal, tetapi menggunakan perkataan ‘Bufet Ramadan’.

Tindakan tegas berkenaan bagi mengelak berlaku kekeliruan serta keraguan dalam kalangan pelanggan Islam yang ingin berbuka puasa di premis terbabit.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Datuk Mohamad Noor Abdul Rani berkata, perkataan bufet Ramadan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh pihak penyedia makanan tanpa mendapat sijil halal disahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan JAIP.

Beliau berkata, ungkapan atau perkataan lain yang turut dilarang digunakan ialah seperti bufet berbuka puasa, makanan berbuka puasa, makanan bersahur, iftar dan seumpamanya yang membawa maksud sama.

“Semua ungkapan dilarang ini boleh membawa maksud juadah atau makanan disediakan boleh dinikmati pelanggan Islam yang ingin berbuka puasa serta bersahur walaupun tidak mempunyai sijil halal kerana kita tidak pasti status halal ramuan digunakan serta kaedah penyediaannya mengikut amalan prinsip syarak,” katanya di Kuantan hari ini.

Beliau berkata, banyak hotel kini seolah-olah berlumba mempromosikan bufet Ramadan, tetapi pada masa sama tiada komitmen untuk memohon sijil halal atau memperbaharui sijil halal dimiliki.

Menurutnya, pengurusan hotel yang degil dengan amaran dikeluarkan bakal berdepan dengan tindakan undang-undang mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan kedua tidak melebihi RM500,000 bagi pertubuhan perbadanan manakala individu boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan kedua, mereka boleh dikenakan denda tidak lebih RM250,000 atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Mohamad Noor berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memantau premis terbabit.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya mengingatkan peniaga di negeri ini supaya dapat mematuhi peraturan waktu berniaga dan sentiasa berpakaian sopan. – Metro Online

Loading...