Untung Bersih Samsung Susut

SEOUL – Samsung Electronics mencatatkan keuntungan bersih 11.04 trillion won (RM40.2 bilion) bagi suku kedua tahun kewangan 2018, susut 0.1 peratus daripada tempoh sama tahun lalu.

Syarikat gergasi Korea Selatan itu berkata, penyusutan disebabkan oleh penjualan global yang lebih perlahan daripada telefon pintar premium bagi peranti utamanya, Galaxy.

Purata anggaran yang dikumpulkan oleh Bloomberg menjangkakan hasil 11.6 trilion won untuk tempoh dikaji.

Keuntungan operasi pula mencatatkan 14.87 trillion won, naik 5.7 peratus dan ia selari dengan jangkaan 14.8 trilion won yang digariskan dalam laporan awal yang dikeluarkan awal bulan ini.

Namun, jumlah jualan turun 4.1 peratus tahun ke tahun kepada 58.48 trilion won, dengan perniagaan pengguna elektronik dan perniagaan mudah alih merosot.

“Pendapatan suku kedua jatuh disebabkan oleh jualan telefon pintar dan panel paparan yang lebih rendah,” kata Samsung dalam satu kenyataan.

Pembuat cip memori terbesar di dunia itu mengalami beberapa krisis sebelum ini, termasuk menarik semula pengeluaran telefon pintar Galaxy Note 7 berikutan kejadian letupan bateri pada 2016. – Reuters

Loading...