Universiti Curtin Tawar Program Kemahiran Bahasa Inggeris

KUALA LUMPUR – Universiti Curtin, universiti terbesar di Australia Barat, kini menawarkan program Bahasa Inggeris secara percuma selama 10 minggu…

KUALA LUMPUR – Universiti Curtin, universiti terbesar di Australia Barat, kini menawarkan program Bahasa Inggeris secara percuma selama 10 minggu kepada pelajar antarabangsanya.

Dalam satu kenyataan, universiti itu berkata program berkenaan disesuaikan khusus untuk meningkatkan kemahiran bahasa dan melibatkan pelajar-pelajar secara mendalam dalam budaya akademik Australia.

Program yang termasuk bertutur, mendengar, membaca, menulis, tatabahasa dan sokongan perbendaharaan, juga akan menawarkan pembelajaran dalam bidang seperti kemahiran belajar, kemahiran rujukan akademik, pembangunan pemikiran kritis dan bagaimana untuk berkomunikasi dengan berkesan dalam seminar, perbincangan dan pembentangan dalam suatu konteks akademik, katanya.

β€œIa juga akan memberikan satu pengenalan kepada garis panduan kursus dan sistem pelajar Curtin serta lawatan khas ke fakulti-fakulti Curtin yang berkaitan,” katanya.

Timbalan Naib Canselor Antarabangsa Universiti Curtin Profesor Seth Kunin berkata program itu akan dimulakan segera bagi pelajar antarabangsa yang merancang untuk mengikuti kursus-kursus di universiti itu mulai 2019 dan seterusnya yang telah dikenal pasti sebagai keperluan untuk meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris mereka.

“Dengan mempunyai kampus di Malaysia, Singapura, Dubai dan Mauritius, di samping dua kampus utama di Australia Barat, Curtin adalah sebuah universiti yang benar-benar bersifat global dan kami mahu memastikan agar pelajar-pelajar kami dilengkapi dengan peralatan untuk berjaya di dalam pengajian tinggi mereka,” kata Prof Kunin.

Beliau berkata program akan menjadikan pelajar antarabangsa lebih selesa dan biasa dengan konteks akademik di Australia.

“Melalui tawaran program percuma ini, kami telah menghapuskan halangan bahasa dan budaya dalam satu usaha untuk menawarkan kepada pelajar-pelajar antarabangsa dengan suatu rasa sebenar mengenai apa yang diajar di Universiti Curtin,” katanya.

Program itu percuma hanya bagi pelajar yang mempunyai syarat bahasa Inggeris pada tawaran mereka dan seterusnya mengikuti pengajian universiti di kampus Universiti Curtin di Perth, Australia Barat.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari https://international.curtin.edu.au/BERNAMA

Loading...