UNICEF Puji Langkah Kerajaan Lindungi Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR – Tabung Kanak kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) memuji kerajaan Malaysia kerana memperkenalkan beberapa peruntukan baharu dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).

Wakil UNICEF, Dr. Victor Karunan berkata, peruntukan baharu itu dilihat antara usaha kerajaan mencapai beberapa cadangan yang dibuat oleh Jawatankuasa PBB mengenai Hak Kanak-kanak selepas laporan pertama Malaysia pada tahun 2007.

“UNICEF memuji peruntukan berkait hak-hak kanak-kanak semasa ditahan khususnya hak untuk dimaklumkan mengenai alasan penangkapan dan hak yang akan disediakan oleh peguam melalui Mahkamah untuk kanak-kanak apabila kanak-kanak tidak dapat memperoleh nasihat sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Victor berkata, UNICEF bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia bagi membantu dalam aspek-aspek pelaksanannya bagi meningkatkan penjagaan dan perlindungan kanak-kanak di Malaysia.

Media baru-baru ini melaporkan Kerajaan Persekutuan bercadang untuk memansuhkan hukuman sebatan terhadap kanak-kanak yang melakukan kesalahan jenayah selaras dengan pembentangan pindaan RUU Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim dipetik berkata, cadangan pindaan terhadap akta tersebut mengambil kira isu-isu semasa yang berkaitan dengan kanak-kanak seperti peningkatan kes kecuaian ibu bapa dalam penjagaan kanak-kanak.

Beliau berkata demikian selepas membentangkan untuk kali pertama RUU Kanak-Kanak (Pindaan) 2015 di Dewan Rakyat.

Kementerian itu turut mengemukakan syor untuk memperkenalkan Perintah Khidmat Masyarakat (CSO) dalam RUU berkenaan.

“Hukuman ini bertujuan supaya pesalah ini selain daripada dihukum dengan hukuman penjara dan denda boleh diberikan pemulihan atau rehabilitasi dengan melaksanakan atau melalui kerja komuniti, kaunseling dan program-program keinsafan dan keibubapaan,” jelas Rohani. – mynewshub.cc

Loading...