Umat Islam Wajib Berusaha Tambah Ilmu – Azlan

KANGAR – Umat Islam hendaklah berusaha bersungguh-sungguh menambah ilmu supaya menjadi umat yang berjaya, kata Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata dalam zaman kemajuan teknologi masa kini, terdapat banyak platform untuk umat Islam mencari ilmu namun ia bergantung kepada sikap mereka sama ada mahu berusaha atau sebaliknya.

“Saya mahu rakyat Perlis menyuburkan negeri ini melalui ilmu. Apabila rakyat berilmu, negeri dapat dibangunkan,” katanya pada majlis penutup Program Perkampungan Sunnah di Masjid Alwi di sini, Ahad malam.

Teks ucapan Azlan dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Pengangkutan, Pembangunan Wilayah, Koridor, Kawasan Pertumbuhan Baharu dan Bandar Baharu Negeri, Datuk Sabry Ahmad.

Program tiga hari anjuran Jabatan Mufti dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiada Melayu Perlis (MAIPs) itu diadakan bersempena ulang tahun Keputeraan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ke-72.

Ia diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk forum perdana dan dialog dengan penceramah dalam dan luar negeri.

“Saya berharap program ini diteruskan pada masa hadapan bagi memberi maklumat lebih jelas kepada orang ramai mengenai manhaj Ahlul Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan di Perlis,” kata Azlan.

Sementara itu, Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam ucapan sebelum itu berkata, program yang julung kali diadakan itu mendapat sambutan memberangsangkan kerana dihadiri lebih 10,000 orang termasuk dari Singapura, Thailand dan Indonesia.

Forum Bual Bicara bertajuk ‘Keamanan dan Kebahagiaan’ diadakan dengan menampilkan panel termasuk Sheikh Hussain Yee mewakili masyarakat Islam; Dr Ragunathan Al-Santiago Amprim (Kristian) dan Koh Chee Meng (Buddha). – BERNAMA

Loading...