UK bakal pecat 20 peratus penjawat awam

38

LONDON: Puluhan ribu penjawat awam United Kingdom (UK) bakal kehilangan pekerjaan di bawah langkah pengurangan kos yang dirangka kerajaan, kata menteri kanan UK, Jacob Rees-Mogg, hari ini.

Ikuti Mynewshub: Facebook,TwitterTikTokTelegram, Instagram

Ketika ditanya media, Rees-Mogg tidak menafikan laporan media mengatakan 91,000 pekerjaan di Whitehall akan dimansuhkan.

“Saya tahu perkara ini menarik perhatian, namun hakikatnya kita sebenarnya kembali kepada perkhidmatan awam seperti pada 2016,” katanya.

Perdana Menteri UK, Boris Johnson, berkata kerajaan negara itu perlu mengurangkan kos kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup berikutan perbelanjaan kerajaan ‘membengkak’ ketika pandemik.

Katanya, 91,000 pekerjaan atau seorang dalam setiap lima pekerja daripada keseluruhan perkhidmatan awam perlu diberhentikan bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan kira-kira £3.5 bilion (RM18.8 bilion) setahun.

Kerajaan UK berdepan kesukaran mengimbangi perbelanjaan selepas membelanjakan peruntukan yang besar ketika pandemik, selain bergelut dengan inflasi yang menjejaskan pemulihan ekonomi serta memberi tekanan tambahan pada kewangan awam.


Sejak beberapa minggu lalu, Rees-Mogg yang juga Menteri Peluang Brexit dan kecekapan kerajaan UK, dilihat menyerang penjawat awam yang masih bekerja dari rumah walaupun semua sekatan COVID-19 sudah ditamatkan.

Beliau dikritik kerana meninggalkan nota di atas meja kosong di jabatan kerajaan, yang tertulis: “Maaf anda tiada di sini. Saya menanti-nantikan kehadiran anda di pejabat tidak lama lagi”.

Menurut Rees-Mogg, perkhidmatan awam UK berkembang sejak beberapa tahun lalu untuk menguruskan proses UK keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) dan pandemik, tetapi kini ‘mahu kembali kepada keadaan normal’.

“Jumlah individu meninggalkan perkhidmatan awam adalah sehingga 38,000 setahun, jadi cara paling murah untuk melakukannya adalah dengan membekukan pengambilan baharu.

“Anda perlu memastikan petugas digunakan secekap mungkin untuk melaksanakan peranan yang penting,” katanya.

BHonline-