Turki Benarkan Polis Wanita Pakai Tudung

ISTANBUL – Turki buat kali pertama membenarkan anggota polis wanita memakai tudung sebagai sebahagian pakaian seragam, menurut peraturan yang dikeluarkan warta rasmi pada Sabtu.

Wanita yang berkhidmat dalam pasukan polis ‘boleh memakai tudung di bawah topi atau beret selagi ia berwarna sama dengan pakaian seragam dan tidak bercorak,’ menurut peraturan itu.

Ia berkuat kuasa serta-merta. Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) sudah lama mengenakan tekanan supaya larangan wanita memakai tudung dimansuhkan di negara itu.

Turki menarik bali larangan memakai tudung di kampus universiti pada 2010.

Ia membolehkan pelajar wanita memakai tudung di institusi awam pada 2013 dan sekolah tinggi pada 2014.

Pengkritik Presiden Recep Tayyip Erdogan sekian lama menuduh beliau cuba memansuhkan sistem sekular di Turki yang diasaskan Mustafa Kemal Ataturk ketika menubuhkan republik Turki pada 1923.

Namun media menyiarkan laporan beberapa negara Barat sudah pun membenarkan pegawai wanitanya memakai tudung.

Polis Scotland bulan ini membenarkan anggotanya memakai tudung ketika bertugas, menyusul langkah dibuat London lebih sedekad lalu.

Dalam usaha menarik lebih ramai penyertaan wanita Islam, kerajaan Kanada minggu ini berkata, Polis Diraja Kanada membenarkan pegawainya memakai tudung sebagai sebahagian pakaian seragam. – AGENSI/BH ONLINE

Loading...