Mahathir Menghadap Sultan Johor Hari Ini

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan menghadap Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pada Khamis.

Pertemuan antara Sultan Johor dan Mahathir akan berlangsung di Istana Bukit Serene di sini.

Ini akan menjadi pertemuan kali pertama antara Mahathir dan Sultan Ibrahim selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14, pada 9 Mei 2018.

Dr. Mahathir dijangka tiba dengan menaiki pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

Beliau akan menghadap Sultan Ibrahim di istana pada pukul 3 petang.

Menurut sumber daripada Pejabat Perdana Menteri, pertemuan itu diadakan berikutan permintaan Sultan Ibrahim, beberapa minggu lalu.

Difahamkan Mahathir akan bersendirian menghadap Sultan Ibrahim.

Sumber itu turut memberitahu, pertemuan tersebut dijangka mengambil masa antara satu dan dua jam.

Ditanya sama ada pelantikan Yang di-Pertuan Agong yang baharu akan dibincangkan semasa menghadap Sultan Ibrahim, sumber itu memberitahu terdapat banyak perkara yang perlu dimaklumkan dalam pertemuan tersebut. – The Star

Loading...