Tumbuk Rakan Serumah, Pengawal Keselamatan Didenda

PETALING JAYA – Tindakan seorang pengawal keselamatan menumbuk mata, hidung dan bibir rakan serumah kerana mengganggu kekasihnya membawa padah apabila dia didenda maksimum RM2,000 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir menjatuhi hukuman itu ke atas Mohamad Aidil Yaakob, 29, selepas dia mengaku bersalah mencederakan Mohamad Arif Bakri, 31, dengan menumbuk bahagian mata, bibir dan hidung mangsa di sebuah rumah di Flat Impian Baiduri, Jalan 51A/224, Sg Way, di sini, pada 7 malam, 23 Disember lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia berasal dari keluarga yang susah dan datang ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki bagi membantu adik-beradiknya yang ramai.

“Saya akui ketika kejadian saya terlampau mengikut emosi. Saya mahu berkahwin tahun ini dan saya sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama,” katanya sambil menangis manakala dua adiknya yang berada di galeri awam turut menangis ketika mendengar rayuan abangnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Ng Wee Li memohon hukuman setimpal. – BERNAMA