Tukang Cuci Ditahan Disyaki Mengedar Dadah

KOTA BHARU – Tindakan seorang tukang cuci yang menyambung kegiatan suaminya mengedar dadah jenis heroin di sekitar bandar ini akhirnya terbongkar selepas ditahan dalam satu operasi di Lundang, di sini semalam.

Wanita berusia 46 tahun yang mempunyai tiga anak itu ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di tepi Jalan Sultan Yahya Petra, Lundang, pukul 10.45 pagi.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata suspek dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak empat bulan lalu dan dikatakan menjadi ‘pewaris’ kepada kegiatan suaminya yang kini berada dalam penjara.

“Hasil pemeriksaan terhadap wanita itu, polis menemui 20 botol dipercayai heroin seberat 80 gram serta dua botol lagi heroin seberat 8 gram dengan nilai pasaran semasa dianggarkan RM44,000.

“Dadah itu dipercayai diperoleh daripada pembekal dari negara jiran untuk pasaran di sekitar Kota Bharu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah kereta, wang tunai, barangan kemas dan jam tangan yang kesemuanya dianggarkan berjumlah RM18,450.

Sementara itu, Ab Rahman berkata bagi tempoh 1 hingga 7 Jan lepas, polis Kelantan menahan 296 individu yang disyaki terlibat dengan pelbagai kesalahan berkaitan dadah di negeri berkenaan. – BERNAMA