Transgender Berpakaian Wanita: 4 Pihak Fail Bantahan

Kerajaan Negeri Sembilan dan tiga pihak lain memfailkan permohonan Jumaat lalu, di Mahkamah Persekutuan bagi mendapat kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992, berkaitan peruntukan hukuman terhadap lelaki Islam yang berpakaian seperti wanita, sebagai tidak berpelembagaan, batal dan tak sah.

Menurut portal The Rakyat Post, dua wakil dari Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan menfailkan notis permohanan yang turut mengemukakan tujuh persoalan undang-undang itu, di Pusat Sehenti Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Kompleks Istana Keadilan.

Selain kerajaan negeri, tiga pemohon lain adalah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Pengarah JHEAINS dan Ketua Pendakwa Raya Syariah Negeri Sembilan.

Menurut prosedur, seseorang pemohon dalam kes sivil harus meminta kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan sebelum boleh meneruskan prosedur untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Pada 7 November lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan tiga lelaki transgender beragama Islam yang memohon Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 diisytiharkan bercanggah dengan perlembagaan dan tidak sah.

Ketika-tiga individu tersebut yang bekerja sebagai jurusolek, adalah Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26, Syukor Jani, 28, dan Wan Fairol Wan Ismail.

Keputusan tersebut lantas mengejutkan seluruh negara, kerana jika ia dikekalkan maka natijahnya terhadap peruntukan sama dalam undang-undang syariah di semua negeri turut terbatal, walhal hukuman mengenai perkara tersebut sudah nyata dijelaskan dalam Al-Quran. – MYNEWSHUB.CC

Oleh : IZZAT MOHD ANUAR

Leave a Reply