TNB Melaka Rai Fakir Miskin, Amak Yatim Berbuka Puasa

MELAKA – Seramai 70 asnaf, anak yatim dan ibu tunggal diraikan sempena program Ihya Ramadan anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2017 peringkat negeri di Masjid Al-Abrar, Semabok di sini, malam tadi.

Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat) Bahagian Komunikasi Korporat Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata pihak TNB berharap sumbangan tersebut mampu meringankan bebanan mereka untuk menjalani ibadat puasa dan menyambut Syawal yang bakal menjelang.

Beliau berkata, TNB memperuntukkan sebanyak RM7,500 untuk golongan asnaf, anak yatim dan ibu tunggal pada majlis tersebut yang turut dihadiri kira-kira 500 penduduk setempat.

“Majlis ini bukan hanya diadakan di sini, malah turut diadakan di masjid-masjid terpilih, setiap negeri di seluruh Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, seorang penerima sumbangan, Asmah binti Isnin, 65, berkata sumbangan yang dihulurkan serba sedikit dapat meringankan beban beliau dan keluarga dalam membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri nanti.

“Tidak sangka dapat bantuan daripada TNB dan saya bersyukur dengan bantuan yang diterima,” katanya. – BERNAMA

Loading...