TNB Bantu Persekolahan 200 Murid Di Beruas

BERUAS – Seramai 200 murid daripada keluarga kurang berkemampuan di kawasan Parlimen Beruas terpilih menerima sumbangan kelengkapan sekolah daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersempena program Kembali ke Sekolah.

Pengarah Urusan TNB Janamanjung Datuk Shamsul Ahmad berkata, program itu membabitkan murid Tahun Satu hingga Tahun Enam daripada 25 buah sekolah dalam kawasan Parlimen tersebut.

“Setiap murid menerima pakaian seragam sekolah, sepasang kasut, sebuah beg serta peralatan alat tulis yang kesemuanya bernilai anggaran RM200 seorang,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan itu di Kampung Matang Acheh, Pangkalan Bahru di sini hari ini.

Sumbangan berkenaan disampaikan Anggota Dewan Undangan Negeri Pangkalan Bahru Datuk Abd Manaf Hashim yang juga Ahli Lembaga Pengarah TNB. Turut hadir Pengurus Kanan Jabatan Komunikasi Korporat TNB Samsul Ariffin Zainuddin.

Menurutnya program CSR itu telah dilaksanakan sejak 2013 dan untuk tahun ini melibatkan kira-kira 10,000 penerima daripada 50 kawasan Parlimen di seluruh negara.

Abd Manaf berkata program tersebut sedikit sebanyak membantu meringkankan beban keluarga penerima yang rata-ratanya dari golongan nelayan dan pekebun kecil.

Ibu kepada seorang daripada penerima sumbangan itu, Latipah Ali, 48, menzahirkan kesyukuran kerana anaknya menerima bantuan tersebut.

“Dapatlah kurangkan sikit perbelanjaan anak lelaki saya nak masuk sekolah ini. Terima kasih banyak bagi bantuan ini,” katanya. – BERNAMA

Loading...