TM Melaka Catat 26,320 Pelanggan Unifi Sehingga Jun 2018

ALOR GAJAH – Telekom Malaysia Berhad (TM) mencatatkan bilangan pelanggan perkhidmatan Unifi di Melaka sebanyak 26,320 sehingga Jun lepas.

Pengurus Besar TM Melaka, Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan, berkata jumlah itu adalah peningkatan sebanyak 39 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Daripada jumlah itu, 23,581 adalah pelanggan kediaman manakala selebihnya pelanggan perniagaan.

“Bagi pelanggan perkhidmatan pre-Unifi (sebelum ini dikenali sebagai Streamyx) pula, sebanyak 66,927 dicatatkan bagi tempoh sama, dengan 59,492 adalah pelanggan kediaman manakala selebihnya pelanggan perniagaan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Meor Shahril Anuar berkata, jumlah pelanggan pre-Unifi itu bagaimanapun menunjukkan penurunan sebanyak 15 peratus berikutan pengguna menaik taraf kepada perkhidmatan Unifi.

Tambahnya, TM Melaka akan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan lagi kadar penembusan jalur lebar di seluruh negeri.

Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan 1,000 lampu kalimantang kepada golongan memerlukan di Kampung Gangsa, Durian Tunggal, dekat sini, yang disampaikan Exco Kerja Raya, Pengangkutan Awam dan Kemudahan Awam Melaka, Mohd Sofi Abdul Wahab yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal.

TM Melaka mengumpul sejumlah 3,000 lampu kalimantang tahun lepas hasil kerja naik taraf sistem pencahayaan di bangunan Menara TM Melaka yang diganti dengan lampu LED, sebagai usaha penggunaan tenaga yang efisien.

“Lampu kalimantang berkenaan disumbangkan kepada golongan memerlukan di negeri ini bertepatan usaha ke arah pengurusan sisa yang efisien,” kata Meor Shahril Anuar . – BERNAMA

Loading...