TLDM Lancar Sistem Pemantauan Pengurusan Bersepadu

KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjadi pelopor dalam perkhidmatan cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari segi penggunaan Sistem Pemantauan Pengurusan Bersepadu (SPPB TLDM) Versi 1.0 bertujuan melancarkan sistem pelaporan dan pemantauan pengurusan TLDM.

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata pembangunan sistem secara dalaman itu menggunakan kepakaran warga TLDM dengan kerjasama Mimos Berhad.

“Ia pertama kali dilaksanakan dalam perkhidmatan ATM yang sebelum ini sering menggunakan khidmat sumber luar untuk membangunkan sesuatu sistem,” katanya selepas melancarkan SPPB TLDM di sini hari ini.

“Sebelum ini, kita ada banyak sistem pemantauan untuk setiap domain yang ada dalam TLDM. Sistem baharu ini membantu pihak pengurusan tertinggi TLDM bagi membuat keputusan secara lebih sistematik dan berkesan bagi ketujuh-tujuh domain utama TLDM,” jelas Abdul Aziz.

Ia merangkumi operasi, strategik, logistik, kewangan, sumber manusia, pentadbiran dan perancangan.

Katanya, inisiatif itu menjimatkan perbelanjaan wang kerajaan dan pada masa sama menjadi medan mengaplikasi pengetahuan yang dimiliki pegawai dan anggota TLDM.

Turut hadir Pengerusi MIMOS Berhad Datuk Wira Omar Kaseh. – BERNAMA

Loading...