TLDM Lancar Aplikasi Telefon Pintar ‘RMN Official App’

KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini melancarkan aplikasi telefon pintar ‘RMN Official App’ yang menyediakan kemudahan maklumat terkini kepada orang awam mengenai pasukan keselamatan itu.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad berkata aplikasi yang dibangunkan TLDM itu memaparkan pelbagai maklumat seperti carta pengurusan tertinggi, jenis kapal dan isu semasa pasukan keselamatan itu.

Menurutnya, orang awam boleh mendapatkan aplikasi itu secara percuma di App Store bagi pengguna iOs dan Google Playstore bagi pengguna Android.

“Aplikasi ini memberi kemudahan kepada warga Angkatan Tentera Malaysia dan orang awam mendapatkan maklumat dan boleh diakses di mana-mana sahaja melalui telefon pintar.

“Penggunaannya dapat menjimatkan masa pengguna membuat rujukan dengan format maklumat yang lebih komprehensif, sistematik dan tepat,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Inovasi TLDM bertemakan ‘Inovasi Budaya TLDM’ di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

“Ini pendekatan baharu TLDM untuk mendekati masyarakat khususnya golongan muda kerana semua orang ada telefon pintar sekarang,” katanya. – BERNAMA