Tipu Permohonan Bantuan Banjir Boleh Dipenjara – SPRM

KOTA BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengingatkan orang ramai supaya tidak mengemukakan maklumat palsu semasa mengemukakan permohonan bantuan banjir.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, pemohon bantuan itu perlu berlaku jujur dan telus untuk mengelakkan mereka daripada dikenakan tindakan undang-undang kerana cuba mengambil hak orang lain.

“Sekiranya ada di antara pemohon yang memalsukan maklumat atau melakukan penipuan dokumen dan sebagainya, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat khas mengenai Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir di pejabat SPRM Negeri Kelantan di sini hari ini.

Pada sesi taklimat itu, Mustafar turut menunjukkan borang Pengesahan Daftar Nama Penerima Bantuan Ihsan. Borang tersebut sebagai aku janji tidak ada pemalsuan atau penipuan oleh pemohon bantuan ihsan.

Hukuman denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan dan penjara sehingga tempoh 20 tahun boleh dikenakan sekiranya disabit kesalahan.

“Penyaluran bantuan perlu sampai kepada yang benar-benar layak sahaja dan sebarang bentuk ketirisan atau penipuan semasa bantuan itu disampaikan perlu dicegah dari peringkat awal lagi,” katanya.

Beliau dalam pada itu menjelaskan, Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir bertujuanmemastikan pengurusan dana dan tabung banjir dikendalikan dengan telus dan teratur serta bebas daripada penyelewengan dan salah laku.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 50 panggilan telah diterima oleh Bilik Gerakan Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir termasuk berkaitan aduan ketidakpuasan hati terhadap agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan. – MYNEWSHUB.CC

Loading...