Tingkatkan Pengetahuan Mengenai Penyakit Bawaan Nyamuk

GEORGETOWN – Orang ramai dinasihat meningkatkan pengetahuan mengenai penyakit bawaan nyamuk agar memudahkan langkah pencegahan serta cara menanganinya.

Ahli penyelidik bersekutu Unit Penyelidikan Kawalan Vektor (UPKV), Dr Nur Faeza Abu Kassim berkata apabila memahami sifat nyamuk itu sendiri, langkah mengatasi penyakit bawaan nyamuk akan lebih mudah.

Menurutnya, penularan wabak zika yang menggemparkan masyarakat dunia di Amerika Selatan ketika ini menjadikannya lebih penting untuk masyarakat negara ini berusaha mencegah penyakit bawaan nyamuk seperti denggi (aedes), malaria (anopheles), chikungunya (aedes) dan demam kuning (aedes).

“Kesedaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat mampu mencegah penularan penyakit bawaan nyamuk ini kepada manusia dengan lebih efektif.

“Virus zika pernah dikesan di Malaysia iaitu hanya satu kes pada 1969 di Bentong, Pahang yang dikesan di dalam nyamuk manakala di Sabah pula pada 2014 melalui seorang pelancong warga German yang mempunyai simptom wabak zika dan ia tidak menular,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Nur Faeza berkata pihaknya juga akan menjalankan kajian ke atas virus zika pada masa akan datang yang dilihat mempunyai ciri-ciri persamaan seperti penyakit denggi.

Beliau turut menyarankan orang ramai supaya meningkatkan pengetahuan mengenai kelakuan nyamuk dengan mengenal pasti tempat pembiakan dan cara ia menular.

“Walaupun terdapat banyak kempen kesedaran dilaksanakan Kementerian Kesihatan, orang ramai sepatutnya lebih peka dalam memberi perhatian kepada tempat nyamuk membiak iaitu di sekitar 500 meter dari tempat pembiakan.

“Misalnya tempat air bertakung perlu kita pantau di samping penggunaan alat penghalau nyamuk yang merupakan kaedah terbaik bagi mencegah nyamuk daripada menggigit mangsa iaitu manusia,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Nur Faeza turut menasihatkan orang ramai untuk menggunakan alat penghalau nyamuk yang mengandungi DEET (diethyltoluamide) dan ‘picaridin’ yang selamat digunakan bagi ibu mengandung dan kanak-kanak.

“Nyamuk akan menyerang mangsa daripada paras pinggang ke bawah, jadi pengguna perlu menyemburnya seperti di bawah meja, katil dan tempat tersorok…tidak perlu sembur di bahagian atas kerana nyamuk tidak terbang terlalu tinggi,” katanya. – BERNAMA

[wpdevart_youtube]rEFFlCMmm0g[/wpdevart_youtube]

Leave a Reply