Tiket Tambahan Untuk Warga Kota Pulang Beraya

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menawarkan tiket tambahan khusus kepada warga kota yang mahu pulang beraya di kampung.

Pengurus Kanan Pemasaran KTMB Antarabandar, Mohd Noordin Kimi berkata tiket tambahan yang disediakan pihaknya untuk perjalanan dari 10 hingga 19 Julai turut melibatkan tambahan dua koc ke utara dan selatan.

“Sebanyak 120 tiket tambahan ditawarkan setiap hari sepanjang tarikh berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pengguna boleh mendapatkan tiket tambahan di mana-mana kaunter tiket KTMB, secara dalam talian dan aplikasi KTMB Intercity.

Katanya setakat ini sebanyak 80 peratus atau 180,000 tiket daripada 230,000 tiket bagi perjalanan dari ibu negara ke utara dan selatan telah dijual bagi tarikh 10 hingga 19 Julai.

Mohd Noordin berkata untuk Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) pula, sebanyak 70 peratus atau 103,000 keping tiket terjual bagi tempoh 10 hingga 27 Julai.

Sementara itu Pengurus Kanan Operasi Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Faizal Redza Redzuan berkata sebanyak 120,000 keping tiket bas telah dijual bagi semua laluan.

TBS juga akan menyediakan antara 250 sehingga 300 buah bas tambahan,” katanya.

Di Terminal Pudu Sentral (Hentian Puduraya), kebanyakan operator bas memberitahu tiket bagi perjalanan ke utara dari 14 Julai hingga 16 Julai sedang laris dijual. – BERNAMA

Loading...