Tiket Separuh Akhir, Akhir Terbuka Malaysia Habis Dijual

KUCHING – Tiket untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir dan akhir kejohanan badminton Terbuka Malaysia Celcom Axiata 2017 di Stadium Perpaduan Sarawak di sini sudah habis dijual, kata Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Katanya bagi membolehkan peminat yang tidak berpeluang membeli tiket untuk menyaksikan kedua-dua perlawanan itu, pihak penganjur menyediakan TV LED berskrin besar, masing-masing di Pusat Akuatik Sarawak dan di kawasan terbuka pusat festival berhampiran stadium itu bermula malam ini.

Kejohanan itu berlangsung di Stadium Perpaduan Sarawak yang berkapasiti 4,500 penonton. Perlawanan separuh akhir pada esok dan akhir pada Ahad.

“Kita berharap jaguh negara Datuk Lee Chong Wei akan bertemu pemain China Lin Dan di perlawanan akhir nanti,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pemain perseorangan China, Chen Long yang dilihat sebagai penghalang utama Chong Wei telah menarik diri daripada perlawanan peringkat suku akhir bertemu pemain Hong Kong Vincent Wong Wing Ki, dipercayai kerana demam, sekali gus memberi laluan mudah untuk Chong Wei ke final.

Mengenai kemungkinan penjualan tiket palsu, beliau berkata penganjur mampu mengesannya kerana tiket asli dilengkapi ciri-ciri keselamatan dan alat khas akan digunakan untuk mengesahkannya.

Abdul Karim berkata Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dijadual hadir menyaksikan perlawanan suku akhir malam ini, manakala Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dijadual hadir untuk menyaksikan perlawanan akhir. – BERNAMA

Loading...