Tikam Perut Rakan, Penarik Kereta Didakwa

KUALA LUMPUR – Seorang penarik kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba membunuh rakannya dengan menikam di bahagian perutnya menggunakan pisau.

Syed Kamal Syed Mohamed, 21, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap B. Harishan, 22, di tepi jalan, berhampiran hentian bas, Jalan Dutamas, Sentul, di sini, pada 4.30 pagi, 25 Dis lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda dan jika perbuatan itu menyebabkan cedera, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika disabitkan kesalahan.

Hakim Zaman Mohd Nor membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berdekatan dua kali sebulan dan dilarang mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 20 Jan bagi sebutan semula kes.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon agar mahkamah membenarkannya diikat jamin dengan jaminan yang rendah kerana dia penanggung utama keluarga.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norazlin Mohamad Yusoff. – BERNAMA

Loading...