Kes Tikam: Bapa Saudara, Rakan Suspek Ditahan

POLIS menahan dua lelaki dalam dua serbuan berasingan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Mohd Shukri Hussin, 34, petang semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 4.30 petang semalam, seorang lelaki berusia 27 tahun yang dipercayai rakan suspek ditahan di di Jalan Tanjung Bunut, Kampung Buluh Gading, Terengganu.

Lelaki yang bekerja sebagai tukang rumah itu mengakui kereta yang dinaiki suspek adalah miliknya dan diserahkan kepada bapa saudaranya untuk disorokkan di Kampung Dusun Tembakau.

Sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu dan Balai Polis Manir menyerbu lokasi tempat kereta tersebut disorok iaitu di tepi kawasan padang rumput, di sebelah kandang lembu di Kampung Dusun Tembakau.

Susulan serbuan itu, polis menahan bapa saudara kepada rakan suspek yang berusia 55 tahun untuk siasatan.

Kedua-dua lelaki berkenaan direman selama tujuh hari sehingga Ahad ini untuk siasatan.

Baca: Kantoi Sudah Kahwin – Suspek Tikam Bakal Abang Ipar

Sementara itu, polis masih memburu suspek berusia 29 tahun yang berasal dari Manir kerana dipercayai menikam Mohd Shukri di tempat letak kereta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Terengganu (Maidam) sebanyak enam kali hingga maut.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi semalam, mangsa dari Kelantan datang bersama keluarganya ke pejabat Maidam bagi menyemak status suspek yang mendakwa dia masih bujang untuk berkahwin dengan adik mangsa.

Apabila tembelang sebenar suspek diketahui, berlaku pertengkaran dan pergaduhan antara suspek dan mangsa hingga membawa kepada pembunuhan mangsa. – MYNEWSHUB.CC

Loading...