Tidak Patuhi Had Laju Di Kawasan Sekolah Antara Punca Nahas

BANGI – Ketiadaan laluan melintas di sekolah dan pemandu tidak mematuhi had laju antara punca berlakunya kemalangan murid digilis lori di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Medan, Bagan Serai, Perak Rabu lepas, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata kemalangan jalan raya membabitkan pelajar di kawasan sekolah dapat dielakkan jika pemandu mematuhi had laju, selain kawalan lalu lintas yang disediakan pihak sekolah.

Mengulas insiden kemalangan maut membabitkan pelajar di hadapan sekolah baru-baru ini termasuk di SK Teluk Medan itu, Mahdzir berkata jawatankuasa keselamatan sekolah yang diwujudkan di peringkat negeri dan daerah juga perlu melihat kembali kawalan keselamatan setiap sekolah mengikut kesesuaian kawasan.

“Saya minta pengarah pendidikan negeri dan daerah lihat semula kawalan keselamatan ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Bengkel Minda Nobel Permata Negara 2016, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.

Mahdzir berkata pihak sekolah dan ibu bapa juga perlu bekerjasama mengambil inisiatif menyediakan pengawal lalu lintas terutama di sekolah yang berisiko berlaku kemalangan.

Semalam, beliau dilaporkan berkata Kementerian Pendidikan akan mengadakan perbincangan dengan polis bagi meningkatkan kawalan keselamatan di sekolah-sekolah yang terdedah kepada risiko kemalangan.

Mengulas mengenai video kononnya memaparkan sepasang guru bercumbu di sekolah serta bahan-bahan yang memburukkan guru dan kementerian yang viral di media sosial, Mahdzir berkata kementerian telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengenal pasti pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah itu.

Pada majlis penutup Bengkel Minda Nobel Permata Negara itu, sejumlah 24 pelajar, enam guru dan enam penyelidik muda terpilih untuk ke London bagi menyertai Bengkel Institut Sains Permata yang dianjurkan dengan kerjasama The Royal Society, London pada Disember ini.

Mahdzir berkata aktiviti di bawah Majlis Sains dan Penasihat Global (GSIAC) dan dilaksanakan oleh UKM sejak 2013 itu bermatlamat melahirkan pemenang Anugerah Nobel yang pertama dari Malaysia. – BERNAMA

Loading...