Tidak Daftar Taska, Pemilik Didenda RM8,000

KUALA LUMPUR – Seorang wanita didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menjalankan aktiviti Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) tidak berdaftar, tahun lalu.

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu terhadap Yow Shu Huei, 51, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Mahkamah turut memerintahkan Yow menjalani hukuman penjara enam bulan jika dia gagal membayar denda itu. Dia membayar denda tersebut

Wanita itu didakwa menjalankan aktiviti Taska yang tidak berdaftar dikenali sebagai Taska Cerdik Kreatif di kawasan Platinum Lake Condo, di Jalan Danau Saujana, Taman Danau Kota, Setapak di sini pukul 10 pagi 5 Jun 2017.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 & Pindaan 2007 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, wanita itu yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum atas alasan dia telah berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan kelulusan pihak berkuasa.

“Saya menghadapi banyak masalah dan kekangan dalam menyediakan dokumen,” katanya.

Pegawai Pendakwa Jabatan Kebajikan Malaysia Eny Edayu Mat Ali memohon hukuman setimpal yang memberi indikasi bahawa mahkamah tidak akan bertoleransi dengan mereka yang terlibat dengan kesalahan taska tidak berdaftar.

“Berdasarkan siasatan Taska ini mengenakan bayaran di antara RM780 satu dan RM1,500 bagi dua semester kepada seorang kanak-kanak. Selama lebih empat tahun beroperasi, pihak pendakwaan percaya OKS telah menjana keuntungan beribu ringgit hasil dari pengoperasian taska itu secara haram.

“Ini menunjukkan OKS lebih mementingkan keuntungan peribadi berbanding dengan tanggungjawabnya sebagai pengusaha berdaftar,” katanya sambil menekan taska perlu didaftar demi menjaga keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan kanak-kanak. – BERNAMA

Loading...