Tiada Pihak Berkuasa Malaysia Terlibat Kes Di Wang Kelian

KUALA LUMPUR – Tiada pihak berkuasa di negara ini terlibat dalam kes penemuan kem pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan berbukit di Wang Kelian, Perlis pada 2015.

Penolong Pengarah Unit Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (D7C) Bukit Aman, SAC Maszely Minhad berkata berdasarkan keterangan dan siasatan pihak polis, tiada pegawai kerajaan terlibat dalam kes ini.

“Siasatan kes ini masih berjalan dan pihak polis meminta masyarakat yang ada maklumat berhubung kes ini untuk tampil (membantu siasatan),” katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen Hentikan Pemerdagangan Manusia (SHUT) di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya kini dalam proses ekstradisi 11 suspek yang terlibat dalam kes berkenaan.

Katanya, 10 suspek adalah daripada Thailand manakala seorang lagi daripada Bangladesh.

“Kita telah hantar 10 permintaan ekstradisi kepada Thailand tetapi belum ada jawapan yang positif dan satu lagi kepada Bangladesh,” katanya ketika diminta mengulas sama ada terdapat pihak berkuasa yang terlibat dalam kes penemuan kem pemerdagangan manusia di Wang Kelian.

Sementara itu, Maszely berkata pihaknya berhadapan pelbagai cabaran dalam menangani sindiket pemerdagangan manusia berikutan kurangnya kerjasama daripada mangsa.

“Pada tahun lepas sebanyak 2,298 individu telah diselamatkan bagaimanapun selepas siasatan hanya 514 individu sahaja betul-betul mangsa susulan selebihnya enggan memberi maklumat dan kerjasama,” katanya.

Pada Mei 2015, polis menemukan kubur besar dan rangka manusia, dipercayai etnik Rohingya dan 28 kem pemerdagangan manusia di Wang Kelian.

Sebanyak 139 kubur dikesan, sesetengah daripadanya ditinggalkan begitu sahaja di kawasan berbukit. – BERNAMA