Tiada Pemasangan CCTV Dalam Asrama Perempuan

KUANTAN – Tiada pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di bilik asrama perempuan SMK Sulaiman di Bentong, kata Pengarah Pendidikan Pahang Dr Tajuddin Mohd Yunus.

Beliau menambah pengetua sekolah berkenaan memaklumkan pemasangan CCTV hanya melibatkan bahagian luar bangunan, namun perkara itu berkemungkinan menimbulkan salah faham pihak penjaga.

“CCTV itu hanya menghala ke arah laluan keluar masuk bangunan asrama atas faktor keselamatan. Tidak ada yang dipasang dalam bilik,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Tajuddin diminta mengulas dakwaan penjaga pelajar sekolah itu dalam Twitter mengenai pemasangan CCTV yang dikhuatiri menganggu privasi dan aurat pelajar kerana terdapat pengawal keselamatan lelaki yang boleh melihat rakaman itu.

Lelaki berkenaan yang memuatnaik status itu semalam, turut menyisipkannya kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari Young Shefura Othman.

Pada perkembangan lain, Tajuddin mengesahkan Sekolah Kebangsaan (SK) Damak di Jerantut ditutup selama lima hari bermula esok (23 Julai) selepas 53 pelajarnya dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Katanya, penutupan sekolah yang mempunyai bilangan pelajar seramai 368 orang itu dibuat atas nasihat Jabatan Kesihatan Pahang bagi mengelak penularannya kepada murid lain. – BERNAMA

Loading...