Tiada Kompromi Terhadap Individu Ceroboh Tanah

PARIT BUNTAR – Kerajaan negeri Perak akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab menceroboh tanah kerajaan atau hutan simpan secara haram untuk aktiviti pembalakan.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan mereka yang tidak bertanggungjawab dipercayai melakukan pembalakan haram secara berleluasa.

Pada sama beliau meminta media supaya memainkan peranan membantu mendedahkan maklumat berkaitan isu pencerobohan haram, namun laporan berkenaan perlulah mempunyai fakta tepat.

“Laporan mengenai kegiatan itu tidak mudah diakses kerana Jabatan Hutan terpaksa mengarah renjernya ke kawasan berkenaan untuk memantau dan memberi laporan.

Saya yakin dengan kemampuan yang ada, pihak Jabatan Hutan dapat membuat pemeriksaan segera terhadap kegiatan seperti ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bayaran elaun sara hidup nelayan secara tunai sempena Program Pemukiman Menteri Besar di Daerah Kerian di Dewan Serbaguna Tanjung Piandang sini, hari ini.

Sejumlah 2,500 nelayan di daerah Kerian menerima bantuan sebanyak RM300 setiap bulan.

Semalam, Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meor Razak Meor Abdul Rahman melaporkan kira-kira lima hektar kawasan rizab di sekitar kolam takungan Bukit Merah di Kampung Nyamuk, dekat Gunung Semanggol dipercayai diteroka secara haram untuk aktiviti pembalakan.

Meor Razak berkata aktiviti pembalakan haram itu dikesan berdasarkan penemuan beberapa longgokan kayu balak yang tidak bertanda khas menunjukkan tiada permit sah daripada kerajaan selain dibiarkan begitu sahaja.

Mengenai program pemukiman yang berlangsung selama empat hari dan berakhir hari ini, Zambry berpuas hati dengan penganjurannya kerana berjalan dengan baik.

“Tempoh yang sepatutnya berlangsung selama lima hari itu terpaksa disingkatkan berikutan pilihan raya kecil di Kuala Kangsar. Semua mereka turun ke bawah, berada bersama rakyat ke peringkat akar dan umbi,” katanya.

Zambry berkata antara perkara yang dibincangkan termasuk krisis kolam takungan Bukit Merah akibat fenomena El-Nino baru-baru ini khususnya bagi memenuhi dua fungsi besar iaitu pengairan sawah seluas 23,000 hektar serta sumber air untuk rakyat di kawasan terlibat.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri sedang memikirkan usaha untuk mewujudkan kawasan perbandaran yang baik di Parit Buntar kerana rakyat perlu mempunyai tempat untuk tinggal dan kawasan pentadbiran baharu.

Katanya perbincangan juga melibatkan langkah penyelesaian terhadap masalah kawasan sempadan Parit Buntar.

Beliau berkata masalah yang tidak boleh diselesaikan segera akan dibincangkan pada peringkat negeri dan persekutuan. – BERNAMA

Leave a Reply