Tiada Kompromi Bagi Peniaga Asing Di Jalan Silang – DBKL

KUALA LUMPUR – Ramai warga asing lari bertempiaran meninggalkan premis perniagaan ketika Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan serbuan mengejut di Jalan Silang pagi Khamis.

Operasi yang dinamakan Ops Bersepadu Membanteras Peniaga Warga Asing Jalan Silang menyebabkan warga asing lain menurunkan bidai besi premis bagi mengelak daripada diperiksa.

Biarpun begitu, DBKL berjaya mengeluarkan 40 kompaun di atas pelbagai kesalahan antaranya tidak memiliki lesen perniagaan, tidak memaparkan lesen perniagaan dan memasang papan tanda iklan haram.

Tiga pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah ditangkap dan empat premis diarah tutup disebabkan faktor kebersihan.

Operasi yang diketuai Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Zulkifli Muhammad, berlangsung dari pukul 11 pagi hingga 4.20 petang. Ia disertai 126 pegawai dan anggota Polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Kesihatan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Menurut Zulkifli, operasi seumpama ini akan diteruskan sepanjang tahun bagi mengekang aktiviti perniagaan warga asing yang tidak berlesen di kawasan itu.

Beliau berkata DBKL akan memantau premis-premis perniagaan dan tidak akan kompromi sekiranya gagal mematuhi peraturan. Ia akan membatalkan lesen dan menyenaraihitamkan pengendali yang bersalah.

“Kalau kita tengok dekat sini (Jalan Silang) memang majoriti yang menjalankan perniagaan adalah warga asing, dan apabila kita datang mereka akan lari dan tinggalkan premis,” katanya.

Terdahulu, Bernama telah membongkarkan penguasaan perniagaan oleh warga asing di kawasan itu.

Bernama mendapati orang tempatan telah ‘mengalibabakan’ permit dan premis mereka kepada warga asing, mengakibatkan Jalan Silang bertukar wajah ibarat berada di negara lain.

Zulfikli berkata sebaik sahaja laporan Bernama disiarkan, DBKL telah diarah meninjau kawasan berkenaan dan menganggarkan kira-kira 300 premis perniagaan wujud di kawasan itu yang majoritinya dikendalikan warga asing.

Beliau berkata sekiranya lebih banyak operasi bersepadu seumpama ini dilaksanakan di kawasan itu, aktiviti peniaga asing boleh dikekang. – BERNAMA

[wpdevart_youtube]kcpIXysgFH8[/wpdevart_youtube]

Loading...