T’ganu Tanggung Kerugian RM304j Akibat Banjir Tahun Lalu

KUALA TERENGGANU – Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu diberitahu banjir yang melanda negeri ini tahun lepas menyebabkan kerugian keseluruhan sebanyak RM304 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat negeri Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata kerugian itu melibatkan kemusnahan dan kerosakan kediaman sebanyak RM2.1 juta, manakala RM302 juta membabitkan kerosakan harta benda awam.

Beliau berkata jumlah kerugian melibatkan Polis Diraja Malaysia sebanyak RM271,320, Jabatan Kesihatan (RM315,700) Jabatan Kerja Raya (RM233.89 juta), Jabatan Pengairan dan Saliran (RM12.9 juta), Jabatan Pertanian (RM2.9 juta).

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (RM4 juta), Jabatan Perikanan (RM1.6 juta), Pejabat-Pejabat Daerah (RM9.4 juta), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) (RM10 juta), Jabatan Pendidikan (RM18 juta), Syarikat Air Terengganu (RM7.9 juta) dan Telekom Malaysia Terengganu (RM296,000).

“Langkah berterusan kerajaan bagi menghadapi banjir pada masa akan datang terbahagi kepada tiga kategori iaitu melaksanakan projek tebatan banjir, mengambil langkah memastikan rakyat sentiasa bersiap-siaga dengan kemungkinan banjir berulang setiap tahun dan memastikan pembanguan yang dibuat berada di bawah kawalan.

“Setakat ini, kita sudah melaksanakan 10 projek rancangan tebatan bajir dan saliran dengan jumlah keseluruhan peruntukan kira-kira RM66.3 juta termasuk yang terbaharu iaitu projek tebatan banjir di Baruh Tok Jiring melibatkan RM90 juta.

“Kita juga berjaya memasukkan program tebatan banjir Chukai-Kemaman Fasa 2 dalam Rancangan Malaysia Ke-11 dengan kos melebihi RM300 juta,” kata Muhammad Pehimi kepada soalan lisan Datuk Sabri Mohd Noor (BN-Langkap).

Beliau berkata berkata program simulasi juga akan diadakan di seluruh daerah, sementara setiap perancangan pembangunan akan mengambil kira gangguan terhadap kawasan tadahan air serta limpahan hujan ke dalam sungai dan pembangunan hutan.

Katanya tahun lalu kerajaan negeri memperuntuk RM373,000 bagi pembelian bot dan enjin oleh Pejabat Daerah Kemaman (RM300,000), Pejabat Daerah Setiu (RM40,000) dan Pejabat Daerah Hulu Terengganu (RM33,000).

Program kesedaran bencana banjir tahun lalu turut mendapat pujian apabila prosedur operasi standard (SOP) yang dibuat Jawatankuasa Bencana Banjir di Kemaman menjadi contoh kepada negara, tambahnya.

“SOP itu bakal dijadikan panduan kepada semua pihak dan jabatan menerusi penyelarasan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu bagi berdepan banjir pada masa akan datang,” katanya. – BERNAMA

Loading...