Terima 38,000 Aduan Gangguan Hidupan Liar

TANGKAK – Sebanyak 38,236 aduan gangguan hidupan liar dilaporkan penduduk di seluruh negara kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sejak 2012 hingga tahun lepas.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr Hamim Samuri berkata daripada jumlah itu, aduan gangguan hidupan liar melibatkan spesies kera adalah yang tertinggi iaitu 23,433 aduan diikuti babi hutan 4,662 dan gajah 2,538 aduan.

“Antara gangguan hidupan liar yang menjadikan konflik antara manusia dan hidupan liar termasuk pembukaan kawasan penempatan serta pembangunan pesat berhampiran habitat mereka sehingga mengakibatkan hidupan liar memusnahkan tanaman dan masuk ke kawasan kediaman.

“Keadaan ini memberi kesan kepada kelangsungan kehidupan bagi hidupan liar terutama dari segi mendapatkan sumber makanan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kesejahteraan Rakyat, Kawalan Gangguan Hidupan Liar di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Hashim.

Beliau berkata melalui statistik tersebut, Selangor mencatatkan negeri tertinggi menerima aduan gangguan hidupan liar iaitu sebanyak 8,259 kes, diikuti Johor 6,274 kes dan Perak 3,968 kes.

Hamim yang juga Anggota Parlimen Ledang berkata Perhilitan menerima sebanyak 7,451 aduan gangguan hidupan liar di seluruh negara pada tahun lepas berbandiang 6,767 aduan pada 2016.

Katanya kementeriannya kini sedang meneliti satu akta baharu bagi mengawal pembangunan agar impaknya ke atas alam sekitar dan hidupan liar dapat dikurangkan.

Beliau berkata pihaknya dalam proses untuk membawa perkara ini ke kabinet bagi membolehkan semua jenis pembangunan termasuk projek besar seperti jalan raya, lebuh raya, rel keretapi dan bangunan mega mesti mendapat ulasan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar terlebih dahulu.

Pada majlis itu Jabatan Perhilitan menyerahkan sebanyak 10 unit perangkap kera kepada lima mukim di parlimen Ledang iaitu Kundang-Teluk Rimba, Serom, Gersik, Kesang dan Sagil sebagai inisiatif khas pengurusan konflik hidupan liar antara kerajaan dan masyarakat.

Beliau berkata dalam tempoh lima tahun hingga 2017, anggaran kerugian akibat konflik manusia dan hidupan liar membabitkan tanaman, ternakan dan kediaman berjumlah lebih RM16.41 juta dan daripada jumlah itu gajah merupakan spesies yang paling tinggi menyebabkan kerugian iaitu membabitkan lebih RM13.03 juta atau 79.4 peratus.

“Kita harap usaha yang dilakukan antara kerajaan dan masyarakat dapat membantu mengawal kerosakan pada hasil tanaman dan ternakan, sekali gus mengurangkan kerugian serta kesejahteraan penduduk di setiap kawasan lebih selamat dan terjamin,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membuat sebarang aduan mengenai konflik hidupan liar boleh menghubungi talian Perhilitan 1-800-88-5151 atau membuat e- aduan melalui laman web jabatan berkenaan www.wildlife.gov.my. – BERNAMA

Loading...