Teresa Kok Tarik Balik Rayuan Pindah Perbicaraan Kes Hasutan

PUTRAJAYA – Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim hari ini menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya bagi memindahkan perbicaraan kes hasutan ke Mahkamah Tinggi.

Peguamnya S N Nair memaklumkan kepada mahkamah mengenai perkara itu susulan keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menarik balik pertuduhan yang dihadapinya mengikut Akta Hasutan.

Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad mengesahkan perkara itu.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif yang mempengerusikan panel tiga hakim kemudian membatalkan rayuan.

Kok, 51, yang juga naib pengerusi DAP, didakwa di Mahkamah Sesyen pada 6 Mei tahun lepas kerana dikatakan menerbitkan satu klip video bertajuk ‘Teresa Kok ONEderful Malaysia CNY 2014’ yang disiarkan sempena Tahun Baharu China pada Feb 2014.

Teresa memohon untuk memindahkan perbicaraan kes itu ke Mahkamah Tinggi tetapi permohonannya ditolak pada 25 Jun tahun lepas.

Pada 20 Nov tahun lepas, timbalan pendakwa raya Hamdan Hamzah memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen bahawa pertuduhan ke atas Kok telah ditarik balik.

Di luar mahkamah, Nair berkata Kok ingin mengucapkan terima kasih kepada Mohamed Apandi kerana menarik balik pertuduhan ke atasnya.

Turut mewakili Kok ialah peguam K. Murali. – BERNAMA