Terengganu Tak Akan Jual Saham Dalam FGV – Razif

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menegaskan saham milik kerajaan negeri dalam Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) tidak akan dijual memandangkan tiada keperluan berbuat demikian.

Beliau berkata pelaburan yang dibuat melalui Yayasan Islam Terengganu (YIT) itu menggunakan keuntungan daripada pelaburan YIT sebelum ini tanpa melibatkan dana kerajaan negeri atau pinjaman daripada mana-mana pihak.

“Kenapa perlu nak jual saham itu? kita dapat dividen setiap tahun, kalau kita teruskan lagi simpan, akhirnya akan dapat balik modal dan saham itu adalah aset dan pelaburan yang boleh membantu generasi akan datang.

“Kerajaan negeri tidak akan terikut-ikut pihak lain yang menjual saham FGV kerana tiada keperluan berbuat demikian, sebaliknya akan terus simpan saham itu sebagai pelaburan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS Pusat, Naraza Muda yang meminta kerajaan Terengganu menjual semua kepentingan dalam FGV bagi mengurangkan risiko kerugian lebih besar.

Sementara itu, YIT dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya bersedia memberi masa kepada pengurusan baharu Felda untuk mempertingkatkan semula prestasi FGV.

YIT sehingga kini telah menerima dividen berjumlah RM7.26 juta daripada FGV.

YIT turut berkata, nilai aset semasa syarikat iaitu RM1.70 sesaham tidak mencerminkan nilai sebenar saham FGV dan saham itu akan memberi perkembangan positif sedikit masa lagi.

“Kami yakin di bawah pengurusan baharu, FGV akan mampu memberi dividen yang lebih tinggi pada masa depan berdasarkan harga MSM (minyak sawit mentah) yang telah meningkat melebihi RM3,000 setan dan harga FGV telah meningkat daripada RM1.20 kepada RM1.90,” menurut YIT.

Menurut YIT, pihaknya telah memperoleh keuntungan melebihi RM200 juta sejak 1990 hingga 2016 melalui pelaburannya.

Pada 2016, YIT meraih keuntungan sebanyak RM12.3 juta dan ia dijangka mencatat keuntungan sekurang-kurangnya RM10 juta pada 2017, menurut YIT. – BERNAMA

Loading...