Terdapat Keperluan Mendesak Lindungi Wartawan: OIC

KUALA LUMPUR – Terdapat keperluan mendesak bagi melindungi keselamatan dan kebebasan wartawan namun pada masa sama wartawan juga perlu memaparkan rasa tanggungjawab yang tinggi dan mempertimbangkan aspek keharmonian serta kesejahteraan masyarakat ketika menjalankan tugas, menurut Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Ketua Setiausahanya Dr Yousef A. Al-Othaimeen berkata demikian dalam satu kenyataan sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia yang disambut setiap tahun pada 3 Mei.

Beliau turut memberikan penghormatan kepada wartawan dan media profesional di atas pengorbanan mereka mempertaruhkan nyawa dan ada yang terbunuh semasa menjalankan tugas di negara dilanda peperangan atau pergolakan.

Berdasarkan tema tahun ini “Minda Kritikal untuk Saat Kritikal: Peranan Media dalam mengerakkan keamanan, keadilan dan masyarakat inklusif” OIC berkata, ia jelas menekankan betapa pentingnya peranan media dalam memastikan masyarakat berbeza di dunia hidup dalam keadaan aman sejahtera.

OIC berkata, pertubuhan berkenaan sedang dalam proses mewujudkan Hadiah Media Antarabangsa sebagai menghormati media yang membuat sumbangan cemerlang dengan menggalakkan dialog, toleransi dan keharmonian antara budaya.

Ia juga sebagai galakkan kepada media profesional untuk menghindarkan ucapan yang mempunyai unsur kebencian, sikap tidak bertoleransi, prejudis, diskriminasi kaum dan Islamophobia.

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan Hari Kebebasan Akhbar Antarabangsa pada 1993. – BERNAMA