Terdapat 9 Spesies Enggang Di Terenganu

HULU TERENGGANU – Terengganu kini mempunyai sembilan daripada 10 spesies burung enggang yang hidup di negara ini.

Ahli Komuniti Persatuan Pencinta Alam Malaysia Negeri Terengganu, Anuar McAfee berkata sembilan daripada burung itu merupakan spesies tempatan yang hidup di kawasan Tasik Kenyir.

Anuar berkata kepelbagaian spesies burung enggang di Tasik Kenyir turut menjadi kayu pengukur semulajadi terhadap persekitaran hutan yang sihat.

“Kalau ada spesies enggang yang banyak menunjukkan hutan yang sihat di mana mampu menghasilkan rantaian makanan bagi pembiakan hidupan ini.

“Cara buat sarang juga agak berlainan berbanding burung lain, di mana spesies ini tidak menggunakan rumput atau batang (kayu) tetapi mencari lubang di batang pokok-pokok besar iaitu lubang semulajadi kerana ia mengambil masa yang lama untuk terbentuk…hanya pokok yang lama dan besar sahaja mempunyai lubang tersebut,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Katanya di Tasik Kenyir ini sahaja terdapat 295 jenis burung termasuk enggang yang turut memberi manfaat kepada alam sekitar khususnya untuk membantu pertumbuhan pokok-pokok baru untuk hidup.

“Bagi peminat aktiviti memerhati burung, mereka boleh ke kawasan Tasik Kenyir untuk melihat spesies enggang bermula pukul 5 petang hingga 7 malam di jajaran Bukit Lawit, Tasik Kenyir dengan jumlah yang banyak kerana pada ketika itu burung-burung ini akan pulang ke sarang,” katanya. – BERNAMA