Teknologi Tidak Berguna Jika Guru Tidak Berkeupayaan

KUALA LUMPUR – Penggunaan teknologi tidak akan dapat mempertingkatkan mutu pembelajaran pelajar jika gurunya tidak tidak bermotivasi dan berkeupayaan.

Penolong Setiausaha DAP, Zairil Khir Johari mendakwa, satu laporan United Kingdom (UK) pernah menyentuh mengenai penggunaan teknologi Virtual Learning Environment (VLE) dalam system pendidikan.

“Dalam laporan itu didapati sekolah hanya berjaya menunjukkan kemajuan dalam penggunaan VLE apabila guru dapat menggunakan alat e-pembelajaran dengan efektif dan penuh motivasi.

“Sebaliknya, apabila guru tidak dapat memaksimumkan potensi sistem itu murid tidak mendapat sebarang faedah. Dalam erti kata lain, kejayaan atau kegagalan sistem VLE bergantung kepada keyakinan dan kreativiti guru dalam menghasilkan bahan untuk murid,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Zairil mempersoalkan mengapa Kementerian Pendidikan mengurangkan peruntukan untuk pembangunan profesional guru daripada RM1.54 bilion tahun ini kepada RM961 juta pada tahun 2015 sedangkan peruntukan untuk teknologi maklumat meningkat sebanyak RM200 juta.

Beliau turut mempersoalkan mengapa perbelanjaan baharu yang dipanggil `Transformasi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan’ diperuntukkan RM250 juta bagi tahun 2015.

“Ia tidak jelas sama ada program ini melibatkan pembangunan guru,” dakwanya. – mynewshub.cc