Taufan Doksuri: 9 Maut, Empat Hilang Di Vietnam

HANOI – Sembilan orang maut manakala empat lagi hilang sejak taufan Doksuri melanda wilayah tengah Vietnam pada Jumaat, kata Jawatankuasa Pemandu bagi Pencegahan dan Kawalan Bencana Alam, lapor agensi berita China Xinhua.

Kematian dilaporkan di wilayah utara Hoa Binh, Thanh Hoa, Quang Binh, Nghe An dan Thua Thien Hue.

Semua mangsa hilang dilaporkan di Quang Binh sementara seramai 112 lagi penduduk cedera.

Selain menyebabkan kematian taufan itu juga mengakibatkan kerosakan harta benda termasuk rumah, jalan raya, kemudahan awam, bot nelayan serta tanaman.

Setakat ini, untuk tempoh lapan bulan pertama tahun ini, bencana alam terutamanya ribut tropika dan tanah runtuh di Vietnam telah mengorbankan 116 nyawa serta menyebabkan kerugian harta benda bernilai sebanyak US$250 juta. – BERNAMA

Loading...