Tapak Pelupusan Sanitari Sungai Udang Kritikal

MELAKA – Kapasiti Tapak Pelupusan Sanitari Sungai Udang di sini yang juga satu-satunya tapak pelupusan sampah di negeri ini, dijangkakan hanya dapat bertahan dalam beberapa bulan sahaja walaupun baru beroperasi kira-kira dua tahun.

Pengurus Wilayah SWM Environment Melaka dan Negeri Sembilan Dr Al’ Ashari Othman berkata situasi tahap kritikal itu berlaku ekoran lambakan sampah pukal seperti perabot, besi dan pokok yang memakan kawasan yang banyak.

“Tidak dapat dinafikan tapak pelupusan berkenaan hampir penuh dan kawasan yang tinggal agak terhad, namun kita akan berusaha melupuskan sampah berkenaan semaksimum mungkin bagi menampung kegunaan dalam masa terdekat ini.

“Tapak tersebut menerima antara 900 hingga 1,000 tan sampah sarap sehari termasuk sampah pukal dan ia menyebabkan tapak tersebut hanya mampu melupuskan sebahagian sampah yang dihantar ke kawasan itu,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa dan sidang media berkaitan operasi SWM Environment Sdn Bhd di sini, malam tadi.

Turut hadir Pengurus Besar Korporat SWM Kamarul Ariffin Ibrahim dan Pengurus Operasi Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan Hisham Hussin.

Tapak Pelupusan Sanitari Sungai Udang itu mula beroperasi setelah tapak pelupusan sampah seluas 25.5 hektar di Krubong di sini ditutup akhir 2014 dan ia dijangka dapat bertahan sehingga lima tahun.

Al’ Ashari berkata terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada berlakunya jangka hayat pendek bagi kapasiti tapak pelupusan itu termasuk sikap rakyat yang tidak mempraktikkan amalan 3R iaitu kurangkan, kitar semula dan guna semula secara menyeluruh, agar sampah yang dihantar ke pusat tersebut dapat dikurangkan.

Selain itu, pengasingan sisa juga dapat membantu memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan seluas 12.1 hektar itu sekiranya ia dilaksanakan secara mampan agar sampah yang perlu dilupuskan tidak begitu banyak.

“Kita berharap rakyat di Melaka dapat melakukan dua langkah ini untuk membantu mengurangkan jumlah sampah sarap yang dihantar ke pusat pelupusan ini kerana keadaan kawasan yang ada sekarang semakin terhad dan mendesak,” katanya.

Beliau berkata isu tersebut telah dibawa ke peringkat kerajaan negeri dan beberapa langkah turut dicadangkan bagi memastikan proses pelupusan sampah di negeri berkenaan berjalan lancar.

Al’ Ashari berkata antaranya adalah membuka sel kedua iaitu dua kali ganda keluasan tapak daripada sel pertama di kawasan tersebut selain membina insinerator di tapak tersebut pada masa akan datang.

“Cadangan ini kita telah kemukakan kepada agensi dan jabatan yang berkaitan. Mereka sedang menelitinya serta dijangka akan diputuskan dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, bagi memastikan operasi kutipan sampah dan pembersihan sepanjang Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri berjalan lancar, pihaknya mengenal pasti dan akan memantau kawasan yang dijangka menghasilkan janaan sampah yang lebih, terutama di semua pusat tong sampah di sekitar negeri.

Beliau berkata jadual kutipan sampah adalah seperti biasa sepanjang tempoh berkenaan termasuk pada hari raya pertama dan kedua seperti tahun sebelum ini agar tahap kebersihan di negeri itu sentiasa dalam keadaan terkawal. – BERNAMA

Loading...