Tambah Baik SJKT, Setaraf Sekolah Kebangsaan

KLANG – Kerajaan menyasar kemudahan infrastruktur serta pengajaran dan pembelajaran Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) seiring dengan sekolah kebangsaan, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan.

Beliau berkata kerajaan akan terus menambah baik serta menaik taraf SJKT secara berterusan bagi memperkukuhkan lagi martabat sekolah berkenaan.

“Ini yang menjadi fokus Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang mahu SJKT terus berkembang dan kira-kira RM800 juta telah diperuntukkan untuk memartabatkannya sejak hampir 10 tahun lepas,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Kamalanathan berkata SJKT kini bukan sahaja menerima murid dalam kalangan kaum India, namun ia turut menarik minat kaum Melayu dan Cina.

“Dalam aspek pengajaran dan pembelajaran, guru-guru SJKT sama kelayakan dengan sekolah lain dan mampu melahirkan pelajar cemerlang namun kekurangannya adalah dari segi infrastruktur, kemudahan asas dan sebagainya,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan cek peruntukan khas penyelenggaraan kecil tahun 2016 berjumlah RM590,000 kepada sembilan SJKT bantuan kerajaan dan tiga sekolah pembangunan sukan peringkat Selangor di SJKT Jalan Meru, di sini.

Menurut Kamalanathan, bagi fasa pertama, sebanyak RM16.5 juta telah diagihkan kepada 251 SJKT yang layak sepanjang tahun lepas dan 43 daripadanya adalah di Selangor dengan agihan berjumlah RM3.56 juta.

Kamalanathan berkata segala pembangunan projek SJKT baharu, penambahbaikan bangunan sedia ada serta kemudahan asas itu membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan sekolah berkenaan demi kemajuan kaum India di negara ini. – BERNAMA

Loading...